16.Apr.2011 bab 73: medan

Amaran: Ini adalah catatan aku ke kota Medan selama 4 hari. Jangan baca kalau kau tidak sanggup lihat banyak perkataan. Mahu lihat gambar? Sila lihat sini.

26 Mac 2011

Bertolak dari Batu Pahat pada jam 0820 menuju ke plaza tol Yong Peng arah utara dan tiba di plaza tol Port Dickson utara sebelum menuju ke plaza tol Port Dickson selatan yang terletak berhampiran pada jam 1000. Di sana, aku menunggu Adam yang akan bersama-sama ke Medan. Dalam jam 1045, barulah kelibat dia muncul. Perjalanan ke Subang diteruskan dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Azz Shah, Subang pada jam 1215 tengah hari. Kami menunggu penerbangan Firefly FY3412 yang dijadualkan pada jam 1300 petang tetapi ditangguhkan selama setengah jam gara-gara kelewatan pesawat dari Singapura. Pada jam 13.20 kami masuk ke dalam pesawat ATR-72. Pesawat berlepas tepat jam 1330 dan tiba pada jam 1345 waktu tempatan (1445 waktu Malaysia).

Setibanya di Lapangan Terbang Bandara Polonia, kami menunggu shuttle bus yang disediakan secara percuma oleh pihak Hotel Madani, tempat kami menginap untuk hari pertama tetapi sehingga jam 1415 bas masih tidak kelihatanl. Kami mengambil keputusan untuk menaiki teksi. Perjalanan dari lapangan terbang ke Hotel Madani dikenakan bayaran sebanyak Rp40.000 untuk 2 orang. Sebelum tiba di hotel kami membeli mata wang Rupiah dengan harga Rp282.000 bagi setiap RM100. Apabila tiba di hotel, kami daftar masuk ke dalam hotel kira-kira jam 1440. Harga untuk superior room adalah Rp384.000 semalam. Suasana di dalam hotel bercirikan Islam dan anda tidak akan kesunyian kerana sentiasa ditemani dengan lagu-lagu nasyid di sepanjang koridor hotel.

Di dalam bilik di tingkat 3, kami membersihkan diri dan merancang destinasi yang akan dilawati pada sebelah petang dan malam. Berpandukan peta, kami berjalan kaki dari hotel di sepanjang Jalan Sisingamangaraja. Setelah jam lebih kurang 1730, ke Tinardi Water Tower yang dibina pada tahun 1908. Setelah bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Thamrin Plaza. Di sana, terdapat ruang makan d’Loft Food Court yang menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan, Jepun, India dan tidak lupa juga makanan Malaysia dengan harga yang berpatutan. Kami memilih untuk mencuba Nasi Ayam Penyet dengan harga Rp20.000 setiap seorang. Manakala untuk minuman pula kami membelanjakan sejumlah Rp20.000 dan sebotol air mineral 500ml berharga Rp5.500. Sambil makan, kami merancang destinasi yang akan dituju pada keesokan harinya. Setelah kenyang mengisi perut, kami kembali ke hotel dengan menaiki becak.

Setibanya di hotel, kami meminta receptionist di sana supaya mendapatkan kereta sewa untuk kami ke Danau Toba. Kadar bayaran adalah sebanyak Rp750.000 termasuk petrol, parking dan upah pemandu. Kami diminta untuk bersedia di lobi hotel pada jam 0600 keesokan harinya.

27 Mac 2011

Kami bersiap awal kerana kereta sewa berserta pemandu telah menunggu pada jam 0600 pagi dan kami meminta sarapan pagi untuk kami dibawa sekali. Tepat jam 0615 pagi kami bertolak ke Danau Toba dan singgah seketika di agensi pengurup wang dan menukar wang sebanyak RM300. Setiap RM1 dibeli dengan harga Rp2.800. Rp200.000 diberikan kepada pemandu untuk mengisi minyak. Perjalanan ke Danau Toba mengambil masa kira-kira 4 jam. Setibanya di Perapat, sebuah pekan kecil di tepi tasik pada jam 0930 kami mengambil keputusan untuk ke Pulau Samosir dengan menaiki bot laju dengan bayaran Rp600.000. Kami dibawa ke Batu Gantung terlebih dahulu sebelum ke pulau. Batu Gantung adalah sebuah cerita lagenda masyarakat tempatan tentang seorang gadis yang kecewa kerana dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga dan kemudian mengambil keputusan membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik. Malangnya, kakinya tersangkut dan kemudian bertukar menjadi batu.

Kami tiba di Pulau Samosir pada jam 1000 dan diminta untuk membayar wang masuk sebanyak Rp2.000 dan kemudian dibawa ke rumah adat kaum Batak, Muzium Batak dan kubur Raja Batak, Raja Sidabutar. Pada jam 1200 kami pulang semula ke Parapat. Di Parapat, kami mengambil keputusan untuk menghirup udara nyaman dan sejuk di tepi Danau Toba sambil makan tengah hari yang dibekalkan sebagai sarapan tadi. Setelah puas menjamu angin di danau Toba, pada jam 1500 kami berangkat pulang ke Kota Medan. Kami tiba di Residence Hotel, bersebelahan Masjid Raya pada jam 1900 dan terus daftar masuk. Kadar sewa di sini adalah Rp100.000 sehari. Keadaan di dalam bilik sangat tidak memuaskan tetapi berbaloi dengan harga yang dikenakan. Akibat kepenatan duduk 8 jam di dalam kereta kami mengambil keputusan untuk tidur awal selepas menikmati nasi goring di hotel tersebut yang berharga Rp8.000 sepinggan.

28 Mac 2011

Keadaan bilik yang tidak mempunyai tingkap membuatkan kami tidur lena tanpa sedar jam sudah menunjukkan 0830. Terus bersiap turun untuk bersarapan. Menu pagi ini adalah sama seperti menu makan malam semalam. Puas bersarapan, kami berjalan kaki menuju ke sebuah muzium tempatan. Untuk pengetahuan semua, muzium di sini ditutup setiap hari Isnin untuk kerja-kerja pembersihan. Sedikit rasa kecewa tetapi kami meneruskan perjalanan ke sebuah stadium berhampiran muzium. Bersebelahan dengan muzium terdapat sebuah taman yang sangat mempersonakan. Kami berehat di sini untuk tempoh kira-kira 30 minit sebelum meneruskan perjalanan untuk pulang ke hotel penginapan. Kami daftar keluar dari hotel dan daftar semula di Madani Hotel. Setelah menghilangkan penat, kami mengambil keputusan untuk menjelajah di setap pelusuk kota Medan yang mempunyai tempat-tempat yang boleh dilawati seperti Masjid Agung, gereja dan kuil tertua di Medan, Jambatan Kebajikan, Stesen Kereta Api, Merdeka Walk dan banyak lagi. Kami mengambil masa selama hampir 5 jam dengan hanya berjalan kaki untuk ke tempat-tempat yang disebutkan tadi dengan berbekalkan sebotol air mineral 1.5L yang dibeli dengan harga Rp3,000. Makan malam pula kami singgah di Thamrin Plaza. Puas menjamu, kami pulang ke Madani Hotel dengan menaiki becak. Hari ke tiga diakhiri dengan tidur yang lena.

29 Mac 2011

Hari ini adalah hari terakhir di Medan. Kami bersarapan di hotel kerana bayaran untuk bilik penginapan adalah termasuk sarapan pagi. Jadi kami tidak melepaskan peluang untuk menjamu makanan sepuas-puasnya. Pelbagai makanan disediakan seperti roti canai, bubur, nasi goreng, mi goreng dan buah-buahan. Pelayan hotel pula amat mesra terhadap pelanggan. Puas bersarapan, kami kembali semula ke muzium. Tanpa menggunakan peta, kami mula berjalan kaki ke sana. Tiba di muzium, setiap pengunjung perlu membayar Rp700 berserta tips untuk penjual tiket di sana. Di dalam muzium dipamerkan model manusia zaman pra sejarah, pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia, pakaian tradisional masyarakat Batak dan banyak lagi. Hanya setengah jam kami perlukan untuk menghabiskan lawatan di muzium ini sebelum mengambil keputusan untuk membeli-belah di pusat beli belah berhampiran muzium. Selesai membeli sehelai kemeja untuk setiap orang, kami terus pulang ke hotel untuk keluar dan bergerak menuju lapangan terbang. Kami menggunakan perkhidmatan transit ke lapangan terbang yang disediakan oleh pihak hotel secara percuma. Jarak hotel ke lapangan terbang hanya beberapa kilometer sahaja. Di lapangan terbang, kami membeli buah tangan menggunakan wang yang tinggal. Kemudian, penerbangan Firefly pulang ke Subang pada jam 1330 tidak mengalami sebarang masalah dan kami selamat tiba di Subang tepat pada masanya.

p/s:

1. sediakan wang kecil (Rp2000 atau Rp5000) sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti pemberian tips dan juga derma.

2. jangan hiraukan segala bentuk pertolongan sekiranya kau didatangi lelaki yang mahu membantu kau. akhirnya lelaki tersebut akan meminta upah atas bantuan yang mereka berikan.

3. muzium di Medan ditutup setiap hari isnin.

4. tidak perlu untuk menyewa kenderaan untuk berjalan di kota Medan. memadai jika kau jalan kaki sahaja.

5. jangan malu bertanya kepada polis di sana jika kau tidak tahu arah destinasi. mereka sangat peramah dan sudi membantu.

6. jika kau mahu lintas jalan, jangan teragak-agak cuma pastikan setiap pemandu di sana nampak kau mahu melintas.

Kami boleh jadi pemandu pelancong kau dengan bayaran RM700 termasuk penginapan dan makan minum tidak termasuk tiket penerbangan.

Comment Pages

There are 2 Comments to "bab 73: medan"

  • alifdalmim says:

    hahahaha…tergelak besar aku baca tips2 tu semua..

    p.s, kenapa tak masukkan cukai utk keluar dr Indon..? ..bkah disana juga kita telah ditipu oleh seorang manusia yg pemalas dgn buat kerja yg senang dgn upah yg sgt mahal…

    • stereotaip says:

      cukai tu bukan ke wajib bayar masa nak keluar?
      n tips utk laki2 kat airport tu pun aku da bgtau rasanya…

Write a Comment

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Please note: Comment moderation is enabled and may delay your comment. There is no need to resubmit your comment.

This site is protected by WP-CopyRightPro